Monday, December 15, 2008

Di Sebalik Bukit Antarabangsa

Sekali lagi kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 4 nyawa setakat ini. Sebelum itu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh yang terlibat. Peristiwa ini mengingatkan kembali kita kepada beberapa kes tanah runtuh sebelum ini yang kebanyakannya berlaku di kawasan yang sama semenjak dari tahun 1985 lagi. Daripada kes yang berlaku ini, bermacam-macam ragam yang dapat kita lihat bemula daripada penghuni yang menjadi mangsa, pasukan peyelamat, pihak pemaju, pihak berkuasa tempatan, agensi swasta dan seterusnya masyarakat.
Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan mangsa yang terlibat terdiri daripada golongan yang berada dan ada yang bergelar Datuk! Pendek kata 14 buah banglo yang runtuh tersebut terdiri daripada pemilik yang berada sehinggakan terdapat mangsa yang sanggup menyewa hotel kerana tidak mahu tinggal di pusat-pusat penempatan sementara sebagai tempat penginapan sementara! Itu hak mereka, lagi pun mereka mampu…tetapi bagi masyarakat yang tidak berkemampuan akan menganggap golongan tersebut sebagai golongan yang bongkak/sombong. Jika dibandingkan dengan mangsa-mangsa banjir di pantai timur, mereka bersyukur kerana diberikan penginapan sementara walaupun hanya di sekolah dan balai raya serta dibekalkan dengan bantuan makanan yang tidak seberapa sepanjang berada di pusat-pusat pemindahan.
Tegas mangsa-mangsa tragedi tersebut pula, segelintir pasukan penyelamat tidak menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas dan ini mengakibatkan mangsa-mangsa yang terlibat berasa tidak puas hati. Jika dilihat, pasukan penyelamat juga terkena tempiasnya! Bagi pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan, ianya saling berkait apabila dipertikaikan macam mana memajukan kawasan yang telah banyak kali berlaku tanah runtuh dan bagaimana kerajaan negeri dapat meluluskannya. Apabila sesuatu perkara yang buruk berlaku barulah semua pihak sedar akan hal ini dan mula buat-buat sibuk nak menyiasat!. Institusi kewangan pula seperti Maybank nampaknya lebih rasional apabila sanggup bertolak ansur dengan menangguhkan bayaran balik selama 6 bulan samada pinjaman perumahan, kenderaan ataupun perniagaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan tanah runtuh. Ini merupakan suatu tindakan yang baik kerana dapat meringankan beban kewangan mangsa-mangsa yang terlibat. Akhirnya, diharapkan agar pihak pemaju yang bakal memajukan sesuatu kawasan jangan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata kerana nyawa manusia tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit. Pihak berkuasa tempatan / kerajaan negeri yang terlibat dengan melulukan projek pula jangan hanya kerana pulus semua lulus!