Wednesday, October 29, 2008

Lain Ulu Lain Parang

Semalam (28/10/08), isteri saya merungut kerana katanya separuh daripada pelajar kelasnya sempat melarikan diri dari kelas Sinar (program untuk pelajar tingkatan 5 yang dijalankan selepas waktu akhir persekolahan). Ini kerana, pada waktu akhir sebelumnya tiada guru yang masuk kelas, jadi pelajar mengambil kesempatan untuk cabut awal supaya dapat mengelakkan diri dari memasuki kelas Sinar. Lain-lain guru pun menghadapi masalah yang sama. Ini baru program Sinar, belum lagi cerita mengenai Skim Tuisyen Felda (STF). Walaupun yuran tuisyen mereka telah dibayar oleh FELDA, namun pelajar masih lagi tidak mahu menghadiri kelas tuisyen.
Jika dulu, semasa saya bersekolah nak pergi tuisyen pun tidak mampu kerana tiada duit untuk bayar yuran, harapkan tuisyen percuma daripada guru-guru yang komited sahaja. Tetapi pelajar zaman sekarang ini, dah dibayar pun tidak mahu datang lagi (itu pun untuk ilmu mereka). Kadang-kadang saya rasa amat pelik dengan situasi yang semakin moden sekarang ni, makin moden makin ke belakang pelajar kita. Tiada motosikal tidak mahu ke sekolah, tiada duit saku tidak mahu ke sekolah, kena guru marah tidak mahu ke sekolah, tidak siap tugasan rumah tidak mahu ke sekolah, gaduh dengan rakan sekelas tidak mahu ke sekolah, malah kasut basah pun dijadikan alasan untuk tidak mahu datang ke sekolah. Persoalannya, dimanakah ibu-bapa? Apakah fungsi ibu-bapa di rumah? Apakah tindakan yang dimbil oleh ibu bapa untuk membimbing dan mendidik anak-anak mereka? Nampaknya, bukan pelajar sahaja yang berubah, ibu-bapa juga telah berubah....bukan pelajar sahaja yang bermasalah, ibu-bapa juga bermasalah....bukan pelajar sahaja yang kena kaunseling, ibu-bapa juga kena kaunseling.
Semasa saya bersekolah dulu, saya kena jalan kaki lebih kurang 3.5 km (7km pergi dan balik) setiap hari untuk ke sekolah. Waktu rehat adalah waktu yang paling memalukan kerana saya tidak pernah rehat...macam mana nak rehat, duit saku tak pernah ada, nak beli motor atau basikal jauh sekali lah jawabnya. Dapat tengok tv pun setelah di tingkatan 6 dah. Hanya pelajar-pelajar FELDA je yang mewah nampaknya, nak itu ini semuanya parent kasi. Sebelah petang selepas waktu persekolahan kena potong rumput pula, jaga lembu, tanam sayur dan macam-macam lagi. Pernah suatu ketika dahulu, saya muntah semasa dalam perjalanan ke sekolah... tak nak pergi sekolah takut emak marah pulak, so nak tak nak pergi juga lah. Tapi kebiasaannya, bila seseorang itu pening kepala dan selepas itu muntah, kita akan rasa ok semula. So, saya dapat belajar macam biasa semasa di dalam kelas. Kalau pelajar sekarang ini, tak pening pun cakap pening, sanggup tipu ibu bapa dan guru-guru semata-mata kerana malas!. Sama-sama renungkannya. :(

0 comments:

Post a Comment