Tuesday, January 13, 2009

Huru-hara dek Cuti CNY

Semalam ramai guru yang kalut apabila mendengar permohonan cuti berganti sempena tahun baru Cina tidak diluluskan oleh PPD Segamat. Ini adalah kerana sudah ramai guru yang membeli tiket bas/ keretapi untuk balik ke kampung masing-masing setelah mendengar sekolah saya dibenarkan untuk cuti berganti. Awal tahun ini PPD meminta pihak sekolah memohon cuti berganti sekiranya hendak, tetapi setelah memohon ianya tidak diluluskan dengan alasan sekolah saya tidak mempunyai pelajar cina. Ada juga yang mengatakan bahawa PPD Segamat meminta semua sekolah memohon cuti bagi tujuan penyelarasan. Ini adalah kerana terdapat sekolah kebangsaan yang tidak sampai 100 orang pun pelajarnya (semua Melayu) diminta oleh PPD untuk memohon cuti berganti tersebut. Walaubagaimanapun, lewat tengah hari semalam sekolah dimaklumkan oleh PPD yang permohonan cuti tidak diluluskan! Bagi saya, tidak timbul sedikit pun masalah sekiranya ia diselaraskan kerana ini adalah cuti berganti, bermakna hari persekolahan tidak luak sedikitpun kerana ianya akan diganti....begitu juga dengan cuti Hari Raya Aidilfitri, ianya juga berganti....

Monday, January 05, 2009

Hari Pertama Persekolahan

Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan 2009 bermula. Menurut JPNJ pada tahun-tahun lepas lagi, hari pertama persekolahan mestilah telah dimulakan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam buku rekod mengajar mestilah mempunyai rancangan pengajaran sebagai bukti proses p&p telah bermula. Jika dibandingkan dengan tahun2 sebelumnya, pada minggu pertama sesi persekolahan, proses p&p masih lagi belum bermula kerana guru-guru masih lagi sibuk dengan urusan pelajar dan minggu itu juga dikenali sebagai minggu pengurusan kelas. Sekarang ini bukannya menunjukkan guru sudah tidak sibuk kerana boleh melaksanakan p&p pada hari pertama persekolahan, tetapi ini merupakan arahan daripada pengarah dan guru terpaksa melaksanakannya walaupun penuh dengan kesibukan urusan pelajar. Ini juga menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran pelajar adalah paling diutamakan oleh semua pihak. Pada hari ini juga, semua sekolah dalam daerah segamat akan menerima sekurang-kurangnya seorang pemantau daripada PPD dan ini termasuklah sekolah aku. Awal-awal pagi lagi sebelum perhimpunan rasmi sekolah bermula, seorang pegawai PPD sudah terpacak dalam sekolah! Semua guru sudah mula panik kerana masih ada yang belum mengambil pun buku rekod mengajar dan apatah lagi hendak menulisnya. Nasiblah siapa yang kena observe (kalau ada) selepas ini... :)

Friday, January 02, 2009

Bebanan 2009

Tahun 2009 menampakkan banyak perubahan dari segi agihan jawatan kepada guru-guru di sekolah aku. Ramai cikgu-cikgu dari sesi petang ditarik untuk mengajar di sesi pagi. Walaubagaimanapun, pihak pentadbir masih belum 'cekap' untuk mengenalpasti siapa yang boleh buat kerja dan siapa yang tidak boleh buat kerja...dan siapa yang malas dan siapa yang rajin. Dengan itu, agihan bebanan mula menjadi tidak balance. Terdapat guru yang malas diberi bebanan yang sikit dan cikgu-cikgu yang boleh buat kerja diberi bebanan melampau! Sepatutnya cikgu yang malas lah diberi lebih bebanan bukannya dengan menindih guru-guru yang tersedia terbeban....dengan itu maka wujud lah ketidakpuasan kerja di kalangan guru-guru dan seterusnya menjatuhkan tahap motivasi guru. Ada juga segelintir guru yang boleh buat kerja, tetapi tidak diberi peluang untuk memegang jawatan dan dalam kontek ini, komunikasi dua hala dan komunikasi atas ke bawah amat perlu dalam kalangan pentadbir bagi mengenalpasti situasi staf di sekolah.

Friday, January 02, 2009

Kantin

Muak!! Itulah kata-kata aku diawal tahun 2009 apabila mengetahui pengurus kantin aku pada penggal lepas (3 tahun) masih lagi mendapat tender untuk 1 penggal lagi (2+1). Setiap kali aku turun ke kantin untuk sarapan pagi atau makan tengah hari, itu je lah lauk dan menu setiap hari dari awal tahun ke akhir tahun, semuanya sama! Langsung tiada menu baru ataupun pendekatan baru diambil, balik2 benda sama je...dan, sekarang ini aku terpaksa lagi menghadap kantin itu. Dari segi komunikasi antara pengurus kantin dengan guru-guru, aku tidak menafikan bahawa dia memang peramah dan baik dengan guru-guru, tetapi bila difikirkan mengenai menunya, aku juga tidak menafikan bahawa menunya amat teruk! Aku juga dengar ramai guru yang marah bila tendernya masih lagi disambung. Selagi pengurusan kantin tidak menukar tukang masaknya, selagi itulah rasa muak akan ada! Contohilah kantin SK Kampung Jawa, kalau tidak bagus, tak kan dapat bertahan sehingga berbelas tahun...

Friday, January 02, 2009

Azam 2009

Nampaknya tahun 2008 berlalu dengan pantas dan sekarang telah mula melangkah ke awal tahun 2009. Tahun demi tahun membuatkan aku menambah pengalaman baru terutamanya dalam menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Jika ditanya apakah azam aku pada tahun 2009, sudah tentu aku ingin mempertingkatkan pengurusan aku dalam pendidikan berbanding dengan tahun yang lepas. Selamat menyambut tahun 2009!

Monday, December 15, 2008

Di Sebalik Bukit Antarabangsa

Sekali lagi kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 4 nyawa setakat ini. Sebelum itu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh yang terlibat. Peristiwa ini mengingatkan kembali kita kepada beberapa kes tanah runtuh sebelum ini yang kebanyakannya berlaku di kawasan yang sama semenjak dari tahun 1985 lagi. Daripada kes yang berlaku ini, bermacam-macam ragam yang dapat kita lihat bemula daripada penghuni yang menjadi mangsa, pasukan peyelamat, pihak pemaju, pihak berkuasa tempatan, agensi swasta dan seterusnya masyarakat.
Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan mangsa yang terlibat terdiri daripada golongan yang berada dan ada yang bergelar Datuk! Pendek kata 14 buah banglo yang runtuh tersebut terdiri daripada pemilik yang berada sehinggakan terdapat mangsa yang sanggup menyewa hotel kerana tidak mahu tinggal di pusat-pusat penempatan sementara sebagai tempat penginapan sementara! Itu hak mereka, lagi pun mereka mampu…tetapi bagi masyarakat yang tidak berkemampuan akan menganggap golongan tersebut sebagai golongan yang bongkak/sombong. Jika dibandingkan dengan mangsa-mangsa banjir di pantai timur, mereka bersyukur kerana diberikan penginapan sementara walaupun hanya di sekolah dan balai raya serta dibekalkan dengan bantuan makanan yang tidak seberapa sepanjang berada di pusat-pusat pemindahan.
Tegas mangsa-mangsa tragedi tersebut pula, segelintir pasukan penyelamat tidak menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas dan ini mengakibatkan mangsa-mangsa yang terlibat berasa tidak puas hati. Jika dilihat, pasukan penyelamat juga terkena tempiasnya! Bagi pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan, ianya saling berkait apabila dipertikaikan macam mana memajukan kawasan yang telah banyak kali berlaku tanah runtuh dan bagaimana kerajaan negeri dapat meluluskannya. Apabila sesuatu perkara yang buruk berlaku barulah semua pihak sedar akan hal ini dan mula buat-buat sibuk nak menyiasat!. Institusi kewangan pula seperti Maybank nampaknya lebih rasional apabila sanggup bertolak ansur dengan menangguhkan bayaran balik selama 6 bulan samada pinjaman perumahan, kenderaan ataupun perniagaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan tanah runtuh. Ini merupakan suatu tindakan yang baik kerana dapat meringankan beban kewangan mangsa-mangsa yang terlibat. Akhirnya, diharapkan agar pihak pemaju yang bakal memajukan sesuatu kawasan jangan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata kerana nyawa manusia tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit. Pihak berkuasa tempatan / kerajaan negeri yang terlibat dengan melulukan projek pula jangan hanya kerana pulus semua lulus!

Saturday, November 29, 2008

Sisipan Khas UPSR Terengganu

Hari ini terkandung sisipan khas dalam Berita Harian daripada kerajaan negeri terengganu kepada para murid mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR baru-baru ini. Dalam sisipan tersebut, dipaparkan nama sekolah dan nama murid-murid cemerlang tesebut yang mendapat 5A-7A. Tahniah diucapkan kepada murid-murid cemerlang tersebut. Diharapkan dengan pendekatan kerajaan negeri Terengganu (JPN) tersebut akan dicontohi oleh negeri-negeri lain supaya dapat memaparkan juga nama-nama murid / pelajar cemerlang mereka bukan sahaja dalam UPSR, malah PMR, SPM dan STPM. Ini kerana, bagi saya pendekatan tersebut adalah merupakan salah satu daripada semangat ataupun motivasi kepada murid-murid tersebut mahupun kepada murid-murid yang bakal menempuhinya. Usahlah dipedulikan sedikit belanja untuk menyewa ruangan sisipan tersebut kerana 'nilai' daripada ruangan tersebut adalah jauh lebih mahal daripada nilai menyewa ruangan akhbar itu. Semasa negeri Johor mula-mula meperkenalkan 'Head Count', saya difahamkan negeri terengganu sudahpun 5 tahun melaksanakan Head Count di sekolah-sekolah mereka!. Ini jelas, negeri Terengganu sentiasa mendahului bukan sahaja dalam pengurusan, malah pelajar-pelajar mereka. Diharapkan agar sistem yang baik ini akan sentiasa menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain. Tahniah sekali lagi.